Uncategorized

Bentan Selepas Bersalin

Apa itu bentan?

Bentan ialah keadaan di mana seorang ibu yang sedang dalam pantang selepas melahirkan anak mengalami sakit seperti demam, badan menggigil, sakit urat, sakit seluruh badan, berasa lemah dan tidak bertenaga. Bentan juga dipanggil demam urat.

Jenis-jenis bentan.

Terdapat 3 jenis bentan:

1. Bentan urat

Badan menjadi lemah seperti demam, bisa-bisa urat dan sendi badan seperti lutut menggigil kesejukan walaupun pada waktu tengah hari, seluruh otot badan tegang dan kejang. Ia berlaku apabila ibu terlalu aktif melakukan kerja rumah atau aktiviti fizikal lasak. Rawatan bertangas atau wap herba mampu melegakan keadaan ini.

2. Bentan urat peranakan/urat rahim

Sakit di bahagian ari-ari yang sederhana atau terlampau sakit sehingga mengakibatkan tumpah darah. Ia boleh berlaku sekiranya ibu mengangkat objek berat, tersepak ibu jari kaki atau terjatuh terduduk atau terhempas yang boleh menyebabkan bentan urat peranakan.

3. Bentan urat besar (pinggang)

Urat besar ialah urat buluh rahim yang melalui bahagian pinggul dan menyebabkan rasa lenguh dan sakit di atas bahagian belakang. Biasanya ia terjadi kepada ibu yang bersalin secara pembedahan Caeserean. Kadang kala kesakitan di bahagian pinggang dan tumit yang serius sehingga ibu jalan berjengket-jengket.

Sumber: Majalah Pa & Ma

Punca bentan.

Bentan dikatakan berpunca daripada proses berpantang yang tidak dijaga dengan rapi seperti memakan makanan yang dikategorikan sebagai ‘sejuk’ atau apabila ibu jari kaki terlanggar benda keras.

Cara mencegah.

Untuk mencegah bentan, seorang ibu yang berpantang hendaklah mengamalkan perkara berikut:

  1. Mendapatkan rehat yang mencukupi – Seorang ibu berpantang mesti berehat dari membuat kerja-kerja rumah. Sebaiknya suami mengambil-alih tugas menguruskan rumah  dan menjaga anak-anak yang lebih besar sekiranya ada. Atau jika suami perlu bekerja, dapatkan khidmat pembantu rumah agar ibu dapat berehat secukupnya.
  2. Elakkan keluar rumah untuk perkara yang tidak penting – Selain ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan bayi, sebaiknya ibu tidak sesuka hati keluar dari rumah di dalam tempoh berpantang.
  3. Menjaga pemakanan – Elakkan memakan makanan yang dikategorikan sebagai ‘sejuk’ seperti sayur kubis dan timun, makanan bisa (gatal) seperti makanan laut dan minuman yang sejuk.
  4. Elakkan tekanan (stress) – Ibu berpantang seharusnya mengelakkan daripada tekanan atau menangis. Sokongan dari suami dan keluarga sangat diperlukan untuk memastikan emosi ibu berada dalam keadaan baik. Berikan sokongan moral, bantu apa yang perlu dan jadilah pendengar yang setia untuk ibu berpantang meluahkan perasaan hatinya. Tekanan dan kesedihan yang melampau boleh menjurus kepada meroyan.
  5. Lakukan amalan berpantang tradisional – amalan seperti memakai param, pilis, tapel, bertungku dan memakai stokin juga membantu mengelakkan badan ibu daripada masuk angin. Sebaiknya pakai selipar bilik yang menutup hujung jari agar ibu jari tidak terlanggar benda keras.
  6. Membekalkan badan dengan nutrisi yang baik dan diperlukan agar badan cepat sihat dan mencegah daripada mudah terkena penyakit seperti demam, selsema dan batuk.

Cara menangani bentan.

Oleh kerana kebanyakan kes bentan berlaku apabila badan masuk angin, ibu akan merasa sejuk dan menggigil secara tiba-tiba. Atas sebab inilah ibu harus mengelakkan daripada terdedah kepada angin dan sejuk. Namun sekiranya ibu telah mengalami simptom-simptom terkena bentan, antara perkara yang boleh dilakukan untuk menanganinya ialah:

  1. Sapukan minyak urut panas ke mana-mana bahagian yang terasa sakit seperti tapak kaki, betis dan pinggang.
  2. Bertuam atau bertungku di bahagian badan yang terasa sakit.
  3. Berselubung di dalam selimut.

Kesimpulan.

Walaupun pendapat individu adalah berbeza mengenai amalan berpantang, ada baiknya kita mencegah daripada menyesal di kemudian hari. Bagi pendapat Kak Wazie sendiri, berpantang memang penting. Ikutlah adat berpantang setakat yang termampu. Hanya orang yang pernah terkena bentan tahu betapa ia sangat tidak menyenangkan. Semoga kita semua dijauhkan dan dilindungi dari perkara yang tidak diingini.

Ibu dalam pantang tidak seharusnya jatuh sakit, kerana waktu pantang itu sendiri adalah waktu untuk memulihkan dalaman setelah mengandung dan bersalin. Apatah lagi pada waktu pantang inilah ibu-ibu akan berusaha keras untuk menyusukan bayi. Nikmatilah waktu pantang dengan sihat dan gembira dengan kehadiran insan baru sebagai penyeri keluarga anda.

6 thoughts on “Bentan Selepas Bersalin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge