Uncategorized

Amalan Berpantang Tradisional Selepas Bersalin

Amalan berpantang selepas bersalin sememangnya diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi. Namun pada masa kini amalan berpantang seakan semakin dilupakan oleh segelintir masyarakat kita.

Ini mungkin disebabkan oleh faktor kurangnya ilmu dan pendedahan tentang ilmu berpantang dan ditambah pula dengan pelbagai kekangan yang mungkin dihadapi oleh ibu itu sendiri.

Namun sebaik-baiknya seorang ibu lepas bersalin haruslah berusaha sebaik mungkin agar dapat melakukan semua amalan berpantang untuk kebaikan dan kesihatan selepas bersalin dan juga untuk kesan jangkamasa panjang.


Amalan berpantang yang utama ialah seperti berikut:

1. Berurut – Mengikut Datin Sharifah Anisah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, urutan selepas bersalin akan:

  • melancarkan perjalanan darah;
  • mengeluarkan darah (lokia) yang terperangkap dan bertakung;
  • menaikkan semula rahim;
  • membetulkan urat-urat yang tegang, terputus atau yang terkeluar daripada tempatnya;
  • memecahkan lemak;
  • menegang dan membentuk tubuh untuk membantu si ibu kembali ke bentuk badan asal;
  • mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan selepas bekerja keras melahirkan anak.

2. Bertungku – bertungku ialah dengan meletakkan batu yang dipanaskan (kemudian dilapik) dan ditekan perlahan ke bahagian ari-ari, pangkal peha, tumit dan di mana yang dirasakan perlu.

Bertungku juga dipercayai dapat:

1. Memecahkan lemak
2. Mengecutkan rahim dan organ yang bengkak akibat bersalin
3. mengembalikan tubuh badan kepada keadaan asal
4. Rahim juga disengkak ke atas untuk mengelakkan daripada rahim jatuh dan penyakit tombong di usia tua.

3. Berbengkung – bengkung ialah kain yang dililit ada bahagian bawah payudara, perut sehingga pinggul. Terdapat beberapa jenis bengkung seperti bengkung Tradisional dan juga bengkung moden. Faedah berbengkung ialah seperti berikut:

  1. Mengelakkan perut masuk angin.
  2. Membantu mengempiskan perut dengan lebih cepat.
  3. Menegangkan kulit yang menggeleber dan menguatkan otot-otot yang tegang selepas bersalin.
  4. Menguatkan tulang belakang dan menghasilkan postur tubuh yang baik.
  5. Menghalang peranakan daripada ‘turun’

4. Mandi air akar kayu – mandi akar kayu dilakukan dengan merebus beberapa jenis daun seperti serai wangi, dll dan disuamkan untuk dijadikan air mandian ibu berpantang selama sekurang-kurangnya 2 minggu. Tujuan mandi akar kayu ini ialah untuk:

  • Mengembalikan kecergasan badan
  • Mencantumkan urat putus
  • Membuang angin
  • Menyegarkan urat
  • Membuang bau hanyir darah yang melekat pada badan
  • Memulihkan tenaga
  • Membantu melancarkan pengeluaran susu ibu
  • Mengatasi masalah kebas
  • Masaalah sengal tulang.
  • Mengendurkan otot
  • Menghaluskan kulit
  • Tujuan awet muda.

5. Bertangas – Jika dahulu rawatan bertangas dilakukan secara duduk di atas ramuan rebusan herba, kini rawatan itu diperbaharui dengan kain disediakan untuk menyelubungi tubuh sambil duduk di bawah rebusan herba.

Rawatan bertangas boleh dilakukan setiap hari selama 44 hari. Bertangas adalah rawatan yang boleh dilakukan selepas mandi air rebusan herba (campuran pelbagai herba dan daun-daun pokok kayu) bagi wanita berpantang.

Manfaat bertangas adalah:

  1. agar luka cepat kering dan jahitan cepat sembuh,
  2. mengelakkan jangitan kuman pada bahagian sulit,
  3. nifas yang lawas dan cepat kering,
  4. mengecut rahim serta,
  5. mengelakkan keluar tombong (prolapse).

6. Memakai param, pilis & tapel – Kebaikan Param :

Sangat baik untuk mengurangkan rasa letih dan lenguh-lenguh pada badan ibu selepas bersalin. Dapat juga mngubati sakit terseliuh atau  salah urat. Param disapu di seluruh badan supaya badan tidak masuk angin.

Kebaikan Pilis:

Pilis disapu di dahi untuk melegakan sakit sakit di bahagian ubun-ubun dan pening kepala akibat berpantang. Ia dapat mengurangkan kesan gelap mata yang biasanya di alami ibu yang lepas bersalin.

Kebaikan Tapel:

Tapel disapu di bahagian perut sebelum memakai bengkung. Ia baik untuk mengecutkan otot-otot perut yang kendur. Memutihkan kembali perut yang selalunya mempunyai tanda hitam kesan regangan (stretch mark) selepas melahirkan. Khasiat tapel juga untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kulit perut.

5 thoughts on “Amalan Berpantang Tradisional Selepas Bersalin

  1. Amalan berpantang sewaktu dahulu sangat strict .. Tapi sekarang mmg btul ramai yang tak nak ikut pantang2 ne smua . Best info ne siapa yang nak tahu kenapa harus berpantang~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge